Tuesday, November 23, 2004

Renungan untuk hari ini

Petikan dibawah diambil dari sebuah akhbar tempatan yang saya baca pagi ini. Marilah kita fikirkan bersama-sama. Betapa kejamnya mereka.

Amerika arah bunuh semua lelaki di Fallujah

BAGHDAD: Menjelang serangan ke atas Fallujah, pemerintah tentera Amerika Syarikat (AS) mengarahkan anggotanya membunuh semua penduduk lelaki berusia antara 15 hingga 50 tahun yang ada di luar rumah tanpa menghiraukan sama ada mereka mempunyai senjata atau tidak.
Beberapa hari selepas itu, seorang anggota marin menjadi tumpuan kerana tindakannya menembak seorang penduduk tempatan yang cedera dirakam dan diedarkan ke seluruh dunia.
Menurut laporan al-Jazeera, pasukan marin berkata, anggotanya itu diarahkan meninggalkan zon perang sementara menantikan keputusan siasatan.
Laporan wartawan yang menyertai pasukan tentera AS ketika serangan dilancarkan pada 8 November lalu menyatakan tembakan itu mungkin bukan insiden terpencil.Malah, ia mungkin hanya satu-satunya tindakan yang dapat dirakamkan, ilustrasi bagaimana longgarnya garis panduan bertempur di medan perang yang dikuat kuasakan untuk serangan ke atas Fallujah.
"Musuh boleh berpakaian seperti wanita, musuh mungkin berpura-pura sudah meninggal dunia. Jadi, tembak apa saja yang bergerak dan apa saja yang tidak bergerak", kata seorang pemerintah kompeni kepada pasukan marinnya sebelum memasuki pusat bandar raya itu.
Seorang jurugambar dengan unit itu yang menjalankan antara misi paling bahaya di barisan depan dalam pertempuran di Fallujah, berkata garis panduan bertempur di medan perang beransur-ansur diubah suai ketika keadaan semakin genting.
"Seorang anggota marin terbunuh ketika satu unit memasuki sebuah rumah. Mereka meletupkan bangunan itu tetapi ketika berpatah balik, sebelah tangan tiba-tiba keluar dari celah runtuhan dan melemparkan bom tangan,"katanya.
Jurugambar yang enggan menyebut nama unitnya itu berkata, ketakutan kepada pengebom manusia digabungkan dengan pengetahuan bahawa pejuang mengambil pil khayal dan adrenalin menyebabkan platunnya menggunakan langkah baru.
"Dari situ, peraturan yang digunakan digelar 'double tap' atau dua peluru untuk setiap seorang,"katanya.
Malam sebelum serangan dilancarkan, arahan dikeluarkan yang membolehkan anggota tentera menembak mana-mana lelaki berusia 15 hingga 50 tahun yang kelihatan di jalan raya jika mereka dinilai sebagai ancaman kepada keselamatan tanpa mempedulikan mereka bersenjata atau tidak.
Apabila anggota marin bertanya untuk mendapatkan kesahihan, pegawai berkenaan menjelaskan kepada anggotanya jika mereka melihat lelaki dalam usia yang layak menjadi tentera, mereka boleh menembaknya.Pasukan marin juga mengeluarkan garis panduan tempur di medan peperangan khas terutama untuk operasi di Fallujah yang menegaskan sesiapa yang dianggap bahaya boleh ditembak. - Agensi

No comments: